KEJAYAAN yang dimiliki aktor terkenal Hollywood Tom Cruise hari ini bukan datang dengan mudah meskipun aktor kelahiran Syracuse, New York itu memiliki wajah yang tampan. Ibu bapanya bercerai ketika dia berusia 11 tahun dan kehidupan berpindah-randah memaksanya bersekolah di 15 buah sekolah. Sekolah terakhirnya adalah Glen Ridge High School, New Jersey.
Dibuli merupakan perkara biasa ketika zaman persekolahannya, tambahan dia mempunyai masalah disleksia iaitu gangguan dalam pembelajaran iaitu sukar membaca dan menulis. Justeru, Cruise bukanlah pelajar yang cemerlang ketika zaman persekolahannya, dia mengalih tumpuan kepada aktiviti sukan dan kecederaan lutut yang dialaminya ketika bergusti, membuat dia secara tidak sengaja terjun ke dunia lakonan.
Pada usia 18 tahun, dia meninggalkan Glen Ridge dan memburu impian sebagai seorang aktor di New York. Waktu siang dia melakukan pelbagai pekerjaan antaranya sebagai budak penghantar surat sehinggalah sebagai pembersih restoren dan pada waktu malam diperuntukkan untuk kelas lakonan sebagai persediaan buatnya menjalani uji bakat iklan, drama dan filem.
"Bukan mudah untuk saya berdiri seperti hari ini, sebelum berjaya mendapat kontrak filem pertama Endless Love pada tahun 1981, saya telah merasai pengalaman ditolak pengarah dan penerbit. Saya tidak menjadi aktor untuk memiliki kuasa (wang dan populariti) tetapi ia berlaku dengan sendirinya secara tidak langsung menyebabkan saya memperoleh lebih banyak peluang.
"Saya juga sedar yang kuasa itu tidak akan kekal selamanya dalam kerjaya saya sebagai pelakon. Jadi, saya mahu menggunakannya sehabis yang mungkin, terlibat dalam naskhah yang hebat dan apabila masa itu berlalu saya akan tersenyum kerana telah menjalani hidup dengan sepenuhnya," ujarnya.
Meskipun merupakan aktor yang menerima bayaran tertinggi di Hollywood, dia menegaskan dia tidak pernah melakukan kerja kerana wang.
"Jujur, saya tidak pernah lakukan kerja semata-mata kerana wang. Ya, sebagai aktor saya diberi pilihan dan tawaran yang menarik tetapi terpulang kepada diri sendiri sama ada mahu menerimanya atau tidak. Jika pilihan terletak pada wang dan filem tersebut tidak mendapat sambutan, wang itu tidak bererti apa-apa," jawabnya yang masih menerima tawaran berlakon dalam filem indie.
Kini, selepas lebih tiga dekad terlibat dalam industri perfileman, Cruise bukan sekadar seorang pelakon tetapi dia juga seorang penerbit filem dan mungkin juga bakal penyanyi kerana selepas filem Mission Impossible - Ghost Protocol, dia diangkat sebagai penyanyi rock legenda dalam filem muzikal berjudul Rock of Ages akan berada di pawagam pada Jun tahun hadapan.
Menariknya, ramai yang terkejut apabila mendapat tahu Tom benar-benar boleh menyanyi dan suaranya turut mendapat pujian ramai. Malah, salah seorang pelakon dalam filem itu yang juga seorang penyanyi terkenal, Mary J. Blige turut mendedahkan yang dia teringin untuk merakamkan lagu duet bersama Cruise.
"Jika dia tanya saya, saya terus setuju. Dia memang seorang penyanyi yang bagus dan benar-benar mempunyai aura sebagai seorang penyanyi terkenal. Jiwa rock dalam dalam diri seseorang dan Tom memilikinya," kata Mary J. Blige.
Kebolehan menyanyi Cruise itu turut diakui oleh isterinya, Katie Holmes, bagaimanapun memberitahu, suaminya itu mengikuti kelas vokal selama beberapa minggu sebelum penggambaran bermula.
PENGHUJUNG 2011 menyaksikan nama Tom Cruise kini kembali dijulang sebagai bintang filem pecah panggung menerusi ke munculan filem Mission Impossible - Ghost Protocol.
"Ya, saya suka menyanyi tetapi saya tidak rasa saya boleh lakukannya sebaik lakonan. Jika untuk suka-suka ya tetapi untuk serius saya belum terfikir mengenainya lagi," katanya yang membawakan watak Stacee Jaxx dalam filem muzikal itu.
Misi mustahil
Aktor yang telah berlakon 44 buah filem itu termasuk semua filem sekuel Mission Impossible serta terkini Ghost Protocol tidak hanya berlakon sebaliknya turut bertindak sebagai penerbit telah melakukan pelbagai aksi lagak ngeri sebagai ejen perisik bernama Ethan Hunt.
Sebagai penerbit memilih pengarah JJ Abrams untuk mengarah filem buat kali pertama merupakan satu risiko yang besar tetapi Cruise mempunyai alasan yang tersendiri terhadap pilihannya.
"Kisahnya begini, saya dan Steven Spielberg tengah bekerja untuk filem War of the Worlds dan kami berjumpa beberapa orang penulis dan penulis itu termasuk JJ. Tidak mengambil masa yang lama untuk saya menyukai kerjanya dan dia seorang yang berkarisma serta bijak.
"Kami bekerjasama secara tidak sengaja apabila setiausaha JJ memberi saya pita drama aksi Alias musim pertama yang diarah oleh JJ. Selang beberapa hari saya habis menonton satu musim drama Alias dan saya menyukai kerjanya. Saya menghubunginya ketika itu dia berada di Hawaii melakukan penggambaran drama Lost. Sekembalinya dia di Los Angeles kami berjumpa dan saya tanya bila dia mahu mengarah filem," jelas Tom.
Sungguhpun begitu, untuk seorang pengarah yang tidak pernah mengarah filem berbajet besar pasti menimbulkan kebimbangan di hati seorang penerbit.
"Saya rasa seperti ini bukan filem pertamanya. Filem ini paling kompleks dan sekuel Mission Impossible terbesar yang pernah kami hasilkan. Lihat sahaja lokasi penggambarannya, China, Rom, Dubai dan Jerman tetapi kami berjaya melakukan penggambaran mengikut jadual dan di bawah bajet. Hasilnya juga cukup mengagumkan.
Dalam filem ini banyak aksi lagak ngeri dilakonkan Cruise dan paling diingati adalah babak dia keluar daripada bangunan tertinggi di dunia Burj Khalifa di Dubai dan berjalan di atas cermin tingkap bangunan yang mempunyai ketinggian 2,717 kaki bersamaan dengan 163 tingkat. Katanya untuk babak yang dilakukan di tingkat 140 itu sahaja dia telah berlatih selama sebulan.